UNIVERSITI SAINS MALAYSIA KAMPUS KESIHATAN ANJUR KONSERT AMAL "THE GREAT ESCAPE"
USM, KUBANG KERIAN, 6 Jun 2024 - Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Kesihatan telah menganjurkan Konsert Amal yang dikenali sebagai "The Great Escape". Konsert ini diadakan selaras dengan moto universiti "We Lead" sebagai Universiti APEX yang menggalakkan penglibatan pelajar dalam aktiviti harian bagi membina kemahiran kepimpinan.
Objektif utama konsert amal ini adalah untuk mengumpul dana bagi Pusat Lions Club Kota Bharu Down Syndrome. Pusat tersebut kini mempunyai 52 pelajar sindrom down dengan 3 orang guru sepenuh masa dan separuh masa. Pusat ini beroperasi dengan kos sekitar RM60,000 setahun dan penganjur berharap dapat mengumpulkan RM40,000 melalui konsert ini.
Kumpulan orkestra dari USM Kampus kesihatan telah membawakan beberapa lagu klasik dan moden. Kumpulan orkestra tiupan dari SMK Chung Hwa dan SMP Chung Hwa juga turut melakukan persembahan diikuti dengan persembahan dari wakil A Foundation for the Disabled and Underprivileged (YOKUK). Konsert amal "The Great Escape" ini menjanjikan satu pengalaman menghiburkan kepada para penyumbang pada masa yang sama membantu golongan yang memerlukan.
Turut hadir ialah Pengarah Kampus, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, Pengerusi Lions Club Kota Bharu, Profesor Datuk Dr. Tang Heen Yeong, wakil Pusat Kokurikulum, Profesor Madya Dr. Mohd Nazri Shafei, Penolong Pendaftar Kanan BHEPA, Encik Khairul Ithma Mahdi, Penasihat Program, Profesor Madya Dr. Garry Kuan Pei Ern dan Puan Suriatina Mat Salleh serta Pengarah Program The Great Escape, Saudara Putra Haikal Hakimi Ahmad Putra.
Teks: Nurul Syuhada Arshad
Foto: AJK Multimedia The Great Escape