SUKARELAWAN PELAJAR SERTAI SAMBUTAN HARI ALAM SEKITAR SEDUNIA 2024
PANTAI IRAMA, BACHOK 8 Jun 2024 - Usains Healthcare telah menganjurkan program Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia yang bertempat di Pantai Irama, Bachok. Perasmian program telah disempurnakan oleh YABrs. Tuan Haji Shamsul Bin Abu Bakar, Yang Dipertua Majlis Daerah Bachok Bandar Pelancongan Islam. Program ini diadakan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan kesihatan diri. Seramai 40 orang sukarelawan pelajar dari Kampus Kesihatan telah terlibat dalam menjayakan program ini.
Objektif utama Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2024 ini adalah untuk memperkasakan budaya menjaga alam sekitar terutamanya kawasan yang menjadi tumpuan masyarakat untuk menikmati alam bersama rakan dan keluarga. Oleh itu, Skuad Cinta Pantai yang terdiri dalam kalangan pelajar USM dan kakitangan Usains bekerjasama dalam membersihkan kawasan sekitar Pantai Irama.
Selain itu, penganjuran program ini juga bertujuan membantu peserta dalam mengetahui tahap kesihatan diri melalui ceramah, pameran dan saringan kesihatan secara percuma. Perkhidmatan klinik kesihatan dan klinik pergigian bergerak telah disediakan bersama kakitangan kesihatan yang sangat membantu.
Program ini juga diserikan dengan persembahan Dikir Barat daripada Kumpulan Gempita Sri Maras. Persembahan yang menarik tersebut telah menarik perhatian ramai pengunjung dan memperluas kesenian dikir barat. Cabutan bertuah juga disampaikan dan disempurnakan oleh tetamu kehormat dan program diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada tiga pemenang yang berjaya mengumpul sampah paling banyak.
Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Usains Healthcare Sdn. Bhd., Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim, Dekan Pusat Pengajian Sains Pergigian USM, Profesor Madya Dr. Mohd Fadhli Khamis, Timbalan Pengarah (Sistem Pengurusan) mewakili Pengarah Hospital USM, Dr. Ariffin Marzuki Mokhtar dan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti) mewakili Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Profesor Dr. Hamid Jan Jan Mohamed dan Ketua Unit Sukarelawan BHEPA, Cik Suha Eza Ibrahim.
Teks: Muda’Efah Mostar
Foto: Suha Eza Ibrahim