SUKARELAWAN PELAJAR SERTAI PROGRAM PENDERMAAN DARAH DAN KHIDMAT KOMUNITI SEMPENA SAMBUTAN HARI PENDERMA DARAH SEDUNIA 2024
KOTA BHARU, 22 Jun 2024 - Unit Perubatan Transfusi Hospital USM dengan kerjasama Sekretariat Sukarelawan telah menganjurkan Program Pendermaan Darah dan Khidmat Komuniti Sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2024 yang merupakan sebuah program yang memberi keberkesanan dalam membuka peluang kepada para pelajar universiti dan orang awam untuk menderma darah serta mendedahkan pengetahuan am tentang pendermaan darah.Perasmian program yang diadakan di KB Mall telah disempurnakan oleh Profesor Dr Mohd Imran Bin Yusof, Timbalan Pengarah(Operasi) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).
Objektif utama Program Pendermaan Darah ini adalah untuk membina jaringan komuniti yang baik dalam kalangan masyarakat di Kelantan khususnya di dalam bidang perkhidmatan transfusi darah, di samping merekruit penderma darah baru dan mengekalkan penderma tetap sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2024.
Selain itu, majlis ini turut dimeriahkan dengan dua pertandingan yang menarik,terdiri daripada pertandingan mewarna dan “Snake C Ladder” yang melibatkan penyertaan daripada kanak- kanak berumur 12 tahun kebawah.Terdapat 5 buah booth yang menarik seperti booth dibawah Bank Kerjasama Rakyat Msia Bhd, MPTS Construction Sdn Bhd, serta booth Unit Perubatan Transfusi Hospital USM, Unit Perubatan Pemulihan Hospital USM dan Pemeriksaan Kesihatan Hospital USM yang telah disediakan bagi kunjungan orang ramai.
Para penderma darah dan orang awam memberikan sambutan yang menggalakkan dalam menjayakan program ini. Tahniah dan jutaan terima kasih diucapkan kepada pemenang pertandingan, penderma darah dan penganjur kempen derma darah di seluruh negara atas sumbangan membantu menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan. Sebanyak 129 beg darah telah berjaya dikumpulkan semasa program berlangsung.
Turut hadir ke majlis ini ialah Pemangku Ketua Jabatan/Unit Perubatan Transfusi, Dr. Shafini Mohamed Yusof, Pengarah Program Pendermaan Darah dan Khidmat Komuniti Sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2024, Dr. Siti Asmaa Mat Jusoh, Pemangku Penolong Pengurus Cawangan Bank Rakyat Kubang Kerian, Encik Ahmad Sulhi Nawawi, Financial Controller, MPTS Construction Sdn Bhd, Ms Chriss Teng Poo Shiuan, Senior Centre Manager KB Mall, Mr Vincent Khor, Penasihat Sekretariat Sukarelawan, Cik Suha Eza Ibrahim dan Pengarah Program Derma Darah Sekretariat Sukarelawan, Taufik Ismail.
Teks: Nur Anis Nadhirah Zameri
Foto: Siti Norshahirah Azman