SUKARELAWAN PELAJAR MENAWAN BUKIT PANAU SEMPENA VOLUNTEERS WEEK
BUKIT PANAU, 29 Jun 2024 – Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Kampus Kesihatan melalui Unit Kesukarelawanan telah menganjurkan program Sukarelawan Jelajah Bukit Panau bersempena Volunteers Week. Program ini diadakan untuk memberikan penghargaan kepada sukarelawan pelajar dari Kampus Kesihatan sepanjang penglibatan aktiviti kesukarelawan sepanjang semester berlangsung di samping memupuk semangat cintakan alam sekitar melalui aktiviti plogging yang dijalankan.
Antara aktiviti yang dijalankan semasa program berlangsung ialah mendaki Bukit Panau, plogging dan pertandingan video pendek. Seramai 35 orang sukarelawan pelajar Kampus Kesihatan yang terdiri daripada Sekretariat Sukarelawan dan Majlis Penghuni Desasiswa Murni Nurani telah terlibat dalam menjayakan program ini.
Melalui aktiviti plogging yang dijalankan, sukarelawan pelajar telah berjaya mengumpulkan 11 kilogram sampah semasa mendaki Bukit Panau. Selain itu, 5 klip video pendek juga berjaya dihasilkan oleh para sukarelawan pelajar sepanjang program berlangsung. Program ini diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada kumpulan sukarelawan pelajar yang memenangi pertandingan video pendek yang telah disampaikan oleh Cik Suha Eza Ibrahim, Penolong Pendaftar BHEPA.
Teks: Suha Eza Ibrahim
Foto: Muhammad Akram Adnan
Unit Media & Penerbitan BHEPA