SINERGI & ENERGI MAHASISWA SEMARAKKAN USM RALLY CHALLENGE
USM Kubang Kerian, 3 Oktober 2025 – Minggu Siswa Lestari diteruskan sehingga hari keempat dengan penuh bertenaga melalui program USM Rally Challenge yang menampilkan pelbagai permainan sarat dengan keseronokan, cabaran dan nilai kebersamaan.

Sebanyak empat kontinjen iaitu Karasuno, Kudrat, Nevermore dan Suzuran berentap dengan semangat juang tinggi bagi merebut gelaran juara. Sorakan, gelak tawa dan strategi pasukan sebagai medium membina persahabatan serta menzahirkan sinergi antara mahasiswa baharu.

Antara aktiviti yang dipertandingkan ialah bola tampar gergasi, galah panjang, serta permainan tradisional “anak ayam”, di mana peserta perlu menjaga barisan dan melindungi belon daripada dipecahkan oleh pihak lawan. Permainan ini bukan sahaja menuntut kekuatan fizikal, tetapi juga koordinasi dan kerjasama erat dalam memastikan ahli pasukan mampu bertahan hingga ke akhir.

Aktiviti ini turut menyerlahkan dua elemen penting dalam atribut HEBAT USM, iaitu “Articulate” - pelajar berlatih berkomunikasi secara jelas dan berkesan bagi membentuk strategi pasukan; serta “Thinking” – mengasah daya fikir kritis dan keupayaan menyelesaikan masalah secara kolektif. Nilai ini hanya dapat dizahirkan melalui sinergi pasukan, apabila setiap individu memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat bersama.

“WE LEAD”
“KAMI MEMIMPIN”
Teks/Foto: Unit Media & Penerbitan BHEPA