PROJEK BORNEO CULTURAL NIGHT MEMERIAHKAN SUASANA KAMPUS
USM Kubang Kerian, 22 Jun 2024:- Projek Borneo Cultural Night telah berjaya dilangsungkan dengan penuh gemilang, menghimpunkan pelbagai budaya dan tradisi unik dari Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan. Program ini dianjurkan oleh Sekretariat Bayu Kenyalang Kampus Kesihatan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar Kampus Kesihatan. Perasmian program telah disempurnakan oleh Encik Mohd Norzulhairie Othman, Ketua Pengawai Psikologi BHEPA Kampus Kesihatan dan diiringi Puan Suriatina Mat Salleh, selaku Penasihat Program. Program ini bukan sahaja mengangkat keindahan warisan budaya Borneo tetapi juga membuktikan keupayaan dan kebolehan pelajar dalam mengendalikan program berprestij sebegini.
Salah satu aspek yang paling menonjol dalam Projek Borneo Cultural Night ialah elemen keusahawanan yang diperkenalkan kepada para pelajar. Program ini memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari ilmu perniagaan dan menguasai kemahiran keusahawanan seperti pengiraan kewangan. Aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh pelajar sepanjang program ini bukan sahaja memperkaya pengalaman mereka tetapi juga membantu meningkatkan pendapatan pertubuhan pelajar, seterusnya menyokong pelbagai inisiatif akademik dan kokurikulum.
Selain aspek keusahawanan, Projek Borneo Cultural Night juga berfungsi sebagai platform untuk pelajar mengenali satu sama lain dan mencungkil bakat masing-masing. Melalui program ini, peserta dapat mengasah bakat mereka dalam mempromosikan budaya dan adat tradisi pelbagai kaum di Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan. Ini bukan sahaja mengukuhkan identiti kebudayaan tetapi juga memastikan warisan ini terus lestari dan tidak dilupakan oleh generasi akan datang.
Melalui penglibatan dalam Projek Borneo Cultural Night, pelajar dan ahli lain dapat memperolehi pelbagai pengalaman baharu yang secara tidak langsung membentuk sikap saling membantu. Pada masa kini, amat penting untuk pelajar meningkatkan aras pemikiran mereka dalam menyelesaikan tugasan yang diberikan. Program ini mendorong mereka untuk berfikir secara kreatif dan kritis dalam menyelesaikan pelbagai cabaran yang dihadapi, sekali gus membina kemahiran yang proaktif dan produktif.
Kejayaan Projek Borneo Cultural Night tidak akan tercapai tanpa kerjasama erat dan kesatuan pasukan yang terlibat. Kesatuan ini bukan sahaja mempercepatkan proses penyelesaian masalah yang timbul tetapi juga memupuk semangat perpaduan dalam kalangan ahli pasukan. Ini membuktikan bahawa kerjasama adalah elemen penting dalam menjayakan sesuatu program besar seperti ini.
Projek ini melibatkan seramai 300 orang peserta yang terdiri daripada warga Universiti Sains Malaysia (USM), pelajar Borneo dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), dan masyarakat sekitar. Penyertaan yang meluas ini bukan sahaja memperlihatkan minat yang mendalam terhadap budaya Borneo tetapi juga memupuk semangat kebersamaan dan kerjasama di kalangan komuniti yang terlibat.
Secara keseluruhannya, Projek Borneo Cultural Night telah membuktikan betapa pentingnya program sebegini dalam melahirkan generasi masa hadapan yang berdaya saing dan berupaya berdiri seiring dengan misi negara. Melalui pengenalan aspek keusahawanan, pengukuhan identiti kebudayaan, dan pembinaan kemahiran kritis serta kerjasama, program ini telah memberikan impak yang mendalam kepada semua yang terlibat. Diharapkan kejayaan ini akan menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif seumpamanya pada masa hadapan, seterusnya memartabatkan warisan budaya kita di persada dunia.
Teks/foto: Mohammad Aiman bin Abdullah/Sekretariat Bumi Kenyalang Kampus Kesihatan
Unit Media & Penerbitan BHEPAKK