Skip to main content

Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni  |  Kampus Kesihatan

PROGRAM ISLAMIC RALLY SHOWDOWN MERIAHKAN PENUTUPAN MAJLIS FESTIVAL KELESTARIAN ISLAM (FesKI) 2024

USM, KUBANG KERIAN, 7 Jun 2024 - Sekretariat Rakan Masjid (RM) dgn kerjasama Pusat Islam USM telah menganjurkan Program Islamic Rally Showdown yang merupakan pertandingan nasyid bagi memeriahkan Majlis Penutupan FesKI 2024. Program ini diadakan untuk mendedahkan kepada para pelajar universiti tentang kesenian Islam melalui alunan nasyid bagi menyampaikan mesej wasilah dakwah melalui lagu.

Objektif utama Islamic Rally Showdown ini adalah untuk menarik minat masyarakat tentang nasyid yang bukan hanya dapat menyampaikan dakwah melalui lirik lagu akan tetapi dapat menghiburkan masyarakat mengikut garis panduan yang telah ditetapkan dalam Islam yang mempunyai batas-batas yang tertentu dari segi aurat, pergaulan dan sebagainya.

Selain itu, majlis ini turut diserikan dengan kehadiran kumpulan “The Truth” yang telah mempersembahkan beberapa buah lagu popular mereka antaranya lagu berjudul “Cinta Sementara”. Mereka juga dijemput sebagai juri pertandingan nasyid yang diadakan di antara lima (5) buah sekolah sekitar Kelantan yang mengambil bahagian.

Para hadirin turut tersentuh dengan lirik lagu yang penuh dengan nasihat dan terpukau dengan gaya persembahan yang sangat menarik dari kesemua pasukan yg bertanding.

Majlis perasmian penutup FesKI pada kali ini dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin. Tahniah diucapkan kepada pemenang dan syabas kepada semua peserta nasyid yang telah mengambil bahagian dalam pertandingan yang diadakan.

Turut hadir ke majlis ini ialah Pengarah Kampus, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail, Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA, Tuan Haji Hafiz Assad Zakaria, Timbalan Pengarah Pusat Islam, Puan Amira Abdul Satar@Ismail dan Pengarah FesKI, Muhammad Faris Syazwan Mohd Syukri.

Teks: Norfadilah Kamarulzaman

Foto: Asyiq Syahmi Amran

KLIK UNTUK LIHAT MEDIA