PENGUSAHA KAFETERIA BERI KERJASAMA ERAT DEMI KEBAJIKAN PELAJAR
USM, KUBANG KERIAN 13 JUN 2024 - Satu perjumpaan ahli Jawatankuasa Teknikal Premis Perniagaan telah diadakan bersama pengurusan desasiswa dan pengusaha-pengusaha kafeteria di Desasiswa Murni dan Nurani.
Sesi perjumpaan tersebut yang dipengerusikan oleh Profesor Madya Dr. Wan Amir Nizam Wan Ahmad telah membincangkan beberapa perkara penting seperti penyelarasan waktu operasi kafeteria sewaktu hujung minggu dan musim cuti perayaan, penggunaan plastik di kafeteria selaras dengan arahan yang dikeluarkan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat serta semakan semula peraturan dan tatacara operasi kafeteria & pekerja kafeteria selaras dengan dokumen perjanjian kontrak dan juga akta undang-undang yang berkaitan.
Hasilnya, kata sepakat dan sokongan yang positif telah diperolehi daripada pengusaha kafeteria bersama pengurusan desasiswa. Semoga tindakan dan usaha penambahbaikan ini dapat melancarkan lagi urusan pengoperasian kafeteria di dalam memastikan kebajikan pelajar dapat diberikan keutamaan.
Turut hadir ke sesi perjumpaan tersebut adalah Encik Wan Amier Firdaus Wan Azaman selaku penolong penasihat undang-undang, Encik Khairul Ithma Mahdi, Penolong Pendaftar Kanan BHEPA, Encik Ahmad Affandi Nik Jaafar, pegawai kewangan mewakili Jabatan Bendahari, Encik Asheef Barkhia Yahya selaku Penolong Penggawa dan saudari Lakshmy Baskaran selaku Yang Dipertua MPDMN mewakili pelajar Kampus Kesihatan USM.
Teks dan foto: Saudari Lakshmy a/p Baskaran dan disunting oleh En. Khairul Ithma Mahdi