KEJOHANAN CATUR UNIVERSITI MALAYSIA KELANTAN 2024
UMK, 8 Jun 2024 - Seramai 8 orang pelajar dari Kampus Kesihatan telah diberi kepercayaan oleh pihak Pusat Sukan & Rekreasi untuk mewakili USM ke Kejohanan Catur Universiti Malaysia Kelantan yang telah diadakan di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok. Mereka terdiri dari 7 orang pelajar dari Pusat Pengajian Sains Perubatan iaitu Intan Nor Shahida Mohd Hashim, Siti Nur Zahirah Binti Norli, Farhan Ali Bin Irfhan Ali, Muhammad Sadiq Hussain Bin Nawaz Hussain, Nik Zahid Asyraf Bin Nik Ahmad Zuky, Muhammad Zulhilmi Bin Zakaria Dan Ain Nur Mardhiah Bt Khairulzaman dan seorang pelajar dari Pusat Pengajian Sains Kesihatan iaitu Nik Nursaihah Binti Roslin. Penyertaan kali pertama dalam kejohanan catur peringkat kebangsaan ini adalah salah satu cara untuk memberikan peluang kepada pelajar atlet untuk merasai suasana pertandingan peringkat tinggi. Selain dari dapat mengembangkan bakat pelajar, ia juga dapat memberikan peluang kepada pelajar untuk meredakan tekanan di bilik pembelajaran dengan aktiviti sukan dan kesenggangan.
Penyertaan dalam kategori terbuka ini yang melibatkan seramai hampir 100 orang peserta terdiri dari dalam dan luar negeri Kelantan termasuk dari beberapa universiti awam seperti Universiti Malaysia Kelantan itu sendiri, Politeknik Kota Bharu, Politeknik Melaka, Universiti Teknologi MARA, Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan lain-lain. Turut dipertandingkan ialah kategori bawah 17 tahun dan bawah 12 tahun yang melibatkan seramai hampir 150 orang peserta.
Setiap pemain telah bermain sebanyak tujuh pusingan untuk menentukan pemenang sepuluh tempat terbaik bagi setiap kategori yang dipertandingkan. Walaupun tiada seorang pun wakil dari USM yang berjaya berada pada kedudukan sepuluh terbaik, peserta dari USM ada yang telah menunjukkan kemampuan bermain di peringkat tertinggi dengan memenangi beberapa pusingan perlawanan. Ini menunjukkan bahawa kemampuan peserta dari USM amnya dan Kampus Kesihatan secara khususnya berada pada tahap yang boleh dibanggakan. Semoga lebih ramai lagi pelajar/atlet dari Kampus Kesihatan diberikan peluang untuk mengasah dan mengembangkan bakat sukan mereka di peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang.
Kredit Berita/Gambar : Farhan Ali Bin Irfhan Ali dan FB Pusat Sukan & Rekreasi USM